Oyen adalah gelaran kepada seekor kucing yang berwarna oren atau jingga. Oyen ini seringkali dijadikan konten kerana aksinya yang agak terlampau berbanding kucing berwarna lain. Nakal 48 jam!
Namun tulisan Kakchik di sini bukanlah mahu menceritakan tentang Oyen, tetapi untuk berkongsi REFLEKSI bacaan buku ANDAI KUCING HILANG DARI DUNIA, yang diterjemahkan daripada novel karya penulis Jepun iaitu Genki Kawamura. Versi Bahasa Inggerisnya berjudul If Cats Disappeared From The World dan karya ini telah terjual berjuta naskhah di seluruh dunia.
Kucing dalam novel ini bukanlah berwarna oren atau jingga seperti yang ada pada kulit buku versi Bahasa Melayu. Cabbage adalah seekor kucing yang keempat-empat kakinya berwarna putih bersih. Badannya pula kelihatan anggun dengan campuran hitam, putih dan kelabu. Membayangkan pun sudah tergambar kecomelannya.
Cabbage milik seorang bernama 'Aku', lelaki muda berusia 30 tahun yang telah didiagnos dengan penyakit kanser otak. Tahap 4!
"Sebenarnya, apabila manusia mengetahui bahawa dirinya akan mati, dia hanya akan perlahan-lahan mencari titik ketenangan, daerah paling tenteram hidupnya dengan hakikat kematian."
Mari saya kongsikan apakah refleksi diri saya terhadap novel garapan Genki Kawamura ini :
1. Hubungan antara Aku dan kucing peliharaannya menunjukkan bahawa semua makhluk yang hidup atas muka bumi ini saling bergantung antara satu sama lain dan perlu saling sayang menyayangi.
2. Keputusan Aku mengikut telunjuk syaitan membuktikan manusia cenderung mengikut hawa nafsu dan bisikan jahat apabila dirinya berada di ambang kesusahan dan keterdesakan.
3. Manusia sentiasa berada dalam keadaan terkeliru. Perkara yang penting dianggap remeh dan begitulah sebaliknya, perkara tidak penting pula yang disibukkan setiap hari. Ini disampaikan secara kritis oleh penulis melalui Aku yang sibuk memikirkan bagaimana sekiranya telefon, jam atau kucing hilang dari dunia daripada memikirkan kesalahan dirinya yang sudah lama tidak mengendahkan ayah sendiri.
Andai Kucing Hilang Dari Dunia menyelar tindakan manusia secara halus dan mempersoalkan tentang tujuan dan makna sebenar hidup melalui watak Aku, Cabbage dan Aloha (si syaitan).
Adakah seluruh kehidupan kita di dunia ini semata-mata mahu memuaskan diri sendiri sahaja?
Adakah kita akan berasa puas sekiranya segala apa yang kita mahukan dapat dipenuhi dan apakah makna sebenar kepuasan itu?
Antara perenggan yang sangat memberi kesan kepada saya adalah ayat ini;
"Untuk mendapatkan sesuatu, kita harus kehilangan sesuatu..."
Ibu pernah berpesan begitu. Tentu ia suatu yang kedengaran biasa, semua orang tahu. Biasanya, manusia akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan sesuatu tanpa kehilangan sesuatu yang lain. Tetapi, kehendak itu sebenarnya hanya satu bentuk perbuatan mencuri. Hakikatnya, apabila ada orang mendapatkan sesuatu, akan ada orang yang kehilangan sesuatu. Kebahagiaan seorang manusia pasti dibina di atas kesengsaraan seorang manusia yang lain. Itulah hukum alam. Itulah yang selalu diingatkan oleh ibu kepadaku.
DEEP.
- TribeKakchik 2023-
Comments
Post a Comment