Saya direzekikan tidak pernah duduk sendiri jauh dari ibu ayah, sejak kecil sehinggalah berkahwin. Antara kekurangan apabila tinggal dengan orang tua ini, kita mengambil mudah dalam banyak perkara.
Bangun pagi sebelum pergi kerja, ibu sudah sediakan sarapan. Pulang dari kerja, makan malam sudah siap tersedia di atas meja makan. Baju sudah dibasuh, hanya tinggal untuk disimpan dengan kemas sahaja.
Setelah berkahwin, suami terus bawa saya duduk di rumah kami sendiri. Dari situlah saya baru mula belajar menguruskan rumahtangga sepenuhnya. Pada waktu itu baru saya sedar rupanya alam rumahtangga ini penuh dengan tanggungjawab dan amanah, bukan keseronokan semata-mata.
Jujurnya, antara perkara yang seringkali gagal untuk saya uruskan adalah hal melipat dan mengemas pakaian. Saya membiarkan pakaian bersih yang diangkat dari ampaian berhari-hari lamanya sehingga membentuk gunung Kinabalu (tidak pernah jadi gunung Everest lagi kerana waktu itu anak baru seorang).
Saya fikir mungkin ramai juga surirumah seperti saya, sangat malas dalam hal berkaitan menyelesaikan kain baju ini.
Namun, ada satu kejadian yang membuatkan saya sedar akan kesilapan diri sendiri dan terbuka mata hati untuk belajar sesuatu yang sangat penting dari kemalasan dan kebencian melipat baju. Pakaian yang tidak diuruskan dengan segera dan baik boleh menimbulkan beberapa isu dan masalah.
Sebagai contoh, ada satu hari kita sudah terlambat mahu keluar ke tempat kerja. Kita mencari stoking tetapi hanya jumpa sebelah sahaja, sebelah lagi tenggelam dalam lautan baju yang tidak berlipat. Hanya kerana stoking, punch card kita merah pada hari tersebut.
Emosi kita pula sudah rosak akibat perasaan tertekan mencari stoking sehingga lambat sampai ke pejabat. Segala kerja pada hari itu menjadi tidak kena dan asyik berfikir, “Kalau aku lipat semua pakaian itu tanpa bertangguh, mesti tak jadi macam tadi.”
Di sinilah saya faham bahawasanya boleh dikatakan semua manusia yang hidup atas muka bumi ini ingin mencapai kejayaan dalam hidup, tetapi selalu meremehkan rutin kecil seperti melipat kain ini.
Ia boleh menghalang kita dari bergerak ke tangga seterusnya.
Bagaimana mahu menguruskan tanggungjawab yang lebih besar sekiranya hal yang kecil seperti ini pun kita masih gagal?
Dalam buku The Power Of Habit, Charles Duhigg menjelaskan kepada pembaca tentang tabiat.
Apa maksud tabiat? Tabiat adalah tindakan yang kita lakukan secara berulang-ulang kali dalam satu jangka masa yang lama sehingga membentuk rutin. Apabila sudah menjadi rutin, otak kita tidak perlu bekerja kuat untuk memproses maklumat dan tindakan tersebut akan menjadi automatik.
Tabiat yang buruk tidak boleh dipadam, tetapi ia boleh digantikan dengan tabiat baru yang lebih baik. Proses menggantikan tabiat ini pada awalnya akan menguji kesabaran kita dan jika gagal, tabiat lama akan kembali mengambil posisinya.
Jadi saya belajar untuk mengubah tabiat buruk suka bertangguh melipat baju itu dengan mula merancang jadual yang sesuai. Saya akan pastikan baju mesti dilipat sebaik sahaja diangkat dari jemuran. Atau paling teruk, tanda arasnya tidak lebih dari dua bakul baju. Masuk bakul kedua, saya akan paksa diri untuk segera menyelesaikan tugasan tersebut.
Saya tetapkan prioriti masa yang khusus untuk aku fokus siapkan proses mengemas dan menyimpan pakaian. Lama kelamaan sa yatidak berasa terlalu susah kerana sudah menjadi rutin, walaupun pakaian semakin bertambah.
Tidak kira lelaki atau wanita, kita belajar menjadi manusia yang lebih baik bermula dengan perkara atau tindakan yang kecil. Seperti juga kita mengurus duit, jika duit yang sedikit gagal diuruskan, apakah kita rasa mampu untuk uruskan duit yang lebih banyak?
Tidak logik bukan?
Comments
Post a Comment